Entri 23 : Menelusuri Kehidupan Seorang Cleaner

*Ini adalah sebahagian tugasan citra pengantar hadis aku, iaitu catatan blog.

Cleaner. Kerjaya ini seolah-olah sudah sinonim dengan mana-mana ceruk dan pelosok tempat di muka bumi Allah ini. Namun, sayang seribu kali sayang, cleaner atau pun dipanggil tukang cuci ini, kerjaya mereka ini sering diperlekeh dan dipandang rendah oleh sesetengah insan. Hanya kerana tugas mereka yang sering bergelumang dengan kotoran, mereka direndahkan. Tanpa kita sedar, setiap kejadian yang berlaku di atas muka bumi ini semua adalah kerana izin-Nya dan semestinya mempunyai sebab yang telah ditetapkan.
Alhamdulillah,menerusi satu tugasan kursus citra pengantar hadis ini, saya dan dua orang sahabat saya berpeluang menemu bual dan mengenali dengan lebih dekat lagi seorang tukang cuci di kolej kami.
Senyuman lembut di wajahnya walaupun terpaksa ke sana ke mari menyapu debu dilantai, membersihkan dan mengeringkan tandas menarik kami untuk menemubualnya.
Dia berasal jauh dari Jakarta, Indonesia, meninggalkan ibu dan ahli keluarganya demi mencari rezeki di bumi Malaysia ini. Walaupun terpaksa meninggalkan tanah air dan kampung halaman tercinta, dia gagahi juga untuk mencuba mencari rezeki di tempat orang sejak 3 tahun yang lalu. Kata orang, rezeki Allah ini luas,mungkin sahaja Dia telah tetapkan bahawa di sini lah rezeki untuk dia peroleh.
Dia yang mesra dipanggil Novin mengakui agak sukar pada awalnya untuk membiasakan diri dengan persekitaran baru kerana terpaksa berperang dengan emosi merindui keluarga, teman dan kampong halaman nun jauh di Jakarta. Namun, biasalah, rindu itu anugerah Illahi yang dia syukuri kerana dengan rindu itu lah, dia akan sentiasa kenal asal dan usulnya serta menjaga maruahnya sebagai seorang anak dan wanita di bumi asing ini.
Seawal usia 25 tahun, yang mana wanita sebayanya sudah mendirikan rumah tangga, dia berhijrah ke bumi Malaysia. Kami kagum mendengar kisahnya, manakan tidak, saat ditanya berapa kali pulang ke Indonesia setahun. Jawapannya tidak lah seperti yang kami duga. Dia berkata, hanya sekali dalam tempoh dua tahun, baru lah dia dapat menjejakkan kaki ke kampong halamannya. Lama. Sungguh lama masa yang perlu ditunggu demi bersua mata kembali dengan ibu dan ahli keluarga tercinta. Namun, tenang sahaja dia menjawab sambil wajah masih sempat menyulam senyuman walaupun terselit sedikit riak mendung.
Inilah kisah Novin. Sang perantau di bumi asing. Jauh dari segalanya. Jauh dari hangatnya pelukan ibu saat dunia menolak. Jauh dari keletah dan tawa adik-adik saat jiwa dirudum sepi. Jauh dari pusara si ayah,saat rindu datang bertandang.
Di saat kita merungut tidak mendapat gaji setimpal yang diharapkan. Di saat ramai yang terus menerus menyalahkan takdir kerana tidak mendapat apa yang diimpikan. Rupa-rupanya di sebalik semua itu, masih terdapat seorang insan yang sentiasa mendongak ke langit ketika dunia menariknya untuk jatuh. Segala cabaran dan halangan tidak menghalangnya daripada menyalahkan takdir,sebaliknya mengajarnya untuk mula mengorak langkah dalam mencari rezeki yang diredai-Nya.
Di sebalik pekerjaan seorang cleaner ini yang sering kita rendah-rendahkan ini rupanya tersimpan pelbagai kisah dan pengorbanan. Mulianya kerjaya seorang itu bukan bergantung kepada apa kerjayanya, tetapi bergantung kepada sifat jujur dan amanah dalam melaksanakannya. Apalah guna jika hanya berpangkat tinggi namun saat kemewahan dunia dihidang, amanah terus hilang. Apalah guna bergaji puluhan ribu,namun dosa dan pahala sudah saling tidak berbeza.
Hasil carian imej untuk cleaner the good person


Comments