Entri 11 : Jauh Di Perantauan


Hasil carian imej untuk jauh di perantauan

Hari bersilih ganti, masa demi masa, sedar tak sedar, tahun ini sudah tahun ke-7 aku berhijrah ke bumi asing meninggalkan kampung halaman nun jauh di pelusuk Kuala Lipis, Pahang.

Masih aku ingat, hari pertama aku berada di bumi asing, negeri Perak. Mendaftar sebagai seorang pelajar di sebuah sekolah yang namanya gah di pelusuk tanah air. Sekolah Tuanku Abduk Rahman (STAR) Ipoh. Hampir setiap malam, mata lenjun dek air mata merindui kampung halaman dan ayah bonda. Hari itu pertama kali dalam hidup aku berjauhan dengan mereka, hati mana yang tak terusik, hati mana yang tak akan sayu mengingatkan mereka. Namun benarlah, masa itu ubat. Semakin hari aku dapat mengharungi liku-liku hidup sebagai pelajar di negeri orang dengan lebih bersemangat.

Lima tahun di sana satu tempoh yang cukup lama. Memori suka dan duka bersama teman-teman mengisi setiap kekosongan jiwa dan hati. Tangisan dan tawa menjadi asam garam hidup di sebuah sekolah berasrama. Mereka ibarat keluarga kedua ku. Menjadi pengubat tatkala rindu akan keluarga di kampung. Namun, hidup tak akan selalu ceria seperti langit yang terbentang luas, tidak selamanya cerah, kadang datang juga si guruh dan hujan membawa kegelapan menutup cerianya si langit.

Genap lima tahun, maka bermulalah perpisahan mengikut haluan masing-masing demi cita-cita yang diimpikan. Seperti ku katakan, masa itu pengubat, hari demi hari aku semakin dapat menerima segala takdir yang tersurat, meninggalkan sekolah dan teman tercinta. Kini, aku merantau lagi ke bumi yang lain. Dari Pahang aku ke Perak, dari sana aku kini di Selangor. Menuntut di Universiti Kebangsaan Malaysia.

Tahun ini tahun ke-7 aku jauh dari kampung ku. Tahun ini juga tahun pertama aku bergelar seorang mahasiswa. Entah bila dapat ku pulang kembali ke kampung ku. Andai masa mengizinkan, ingin aku kembali ke sana berbakti kepada bonda ayahanda ku.

Comments