Semalam, pada tanggal 29 Oktober 2018 dunia digemparkan lagi dengan tragedi pesawat terhempas yang meragut nyawa semua penumpang dan anak kapal. Sepanjang aku hidup, ini merupakan tragedi ketiga yang tersemat dalam benak fikiran aku kerana tragedi ini berlaku di negara jiran sahaja. Ini tragedi ke-3 yang dekat dengan diri aku, selepas peristiwa kehilangan pesawat MAS MH370 dan MH17 yang ditembak jatuh di Ukraine.
Aku masih mengikuti perkembangan terkini melibatkan pencarian mangsa-mangsa korban yang masih tidak dijumpai kesemuanya. Melihat wajah-wajah ibu ayah dan anak yang menangis meratapi kepergian mereka amat memilukan.
Bercakap tentang tragedi malang pesawat ini, aku teringat kembali tragedi kehilangan pesawat MH370 yang sudah masuk empat tahun hilang. Kehilangannya kekal misteri sehingga ke hari ini. Jika aku imbas kembali, waktu itu aku baru sahaja berumur 15 tahun dan kehilangan pesawat tersebut sangat menggemparkan negara. 239 nyawa di dalamnya. Entah ke mana ia menghilang, tiada seorang pun sehingga sekarang mampu merungkaikan persoalan itu. Bermacam teori konspirasi berlegar di alam maya. Entahlah, aku pun tidak tahu sama ada harus mempercayainya atau tidak. Namun ia hilang seolah-olah lenyap tanpa kesan. Segenap pelosok lautan sudah diselam, namun hingga kini tiada petanda yang boleh membawa kepada penemuannya.
Kehilangan ahli keluarga dan orang tersayang amat menyakitkan lebih-lebih lagi ianya berlaku secara tiba-tiba. Namun sebagai seorang Islam, kita wajib reda akan ketentuan Ilahi. Di sini aku ingin mengucapkan takziah kepada semua waris dan keluarga kru kapal dan penumpang yang terlibat. Semoga kalian terus bersabar dengan dugaan ini. Sesungguhnya Allah tidak akan menguji hamba-Nya lebih dari kemampuan mereka.
Comments
Post a Comment