Entri 17 : Si Arnab Comel


Hai dan assalamualaikum semua. Lama rasanya tak menulis di blog ini. Nak kata sibuk pun tak lah juga. Cuma bila di kampung ini,telefon sangat lah jarang melekat di tangan. Maklumlah, internet pun ada tiada. Kalau ada pun, mampu hantar dan baca whatsapp sahaja. Itu pun sesetengah telco macam Celcom dan Maxis  sahaja yang ada liputan di kampung ini. Perkara ini bukan lah perkara baru tapi sudah agak lama juga. Aku bukan menulis ini untuk menghentam atau mempertikaikan, tetapi tahun ini sudah tahun 2018 dan sebulan sahaja lagi sebelum kita melangkah ke tahun 2019.

 Namun masih terdapat kawasan yang tiada liputan internet. Hehehe. Macam sudah lari tajuk pula aku menulis ini. Aku tak marah cuma meluahkan apa yang terbuku di hati sahaja. Hahaha. Aku tak rasa kampung aku ini terletak di ceruk hutan sangat pun. Pelik. Tapi biarlah. Mungkin akan ada ramai lagi yang sependapat dengan aku hingga isu ini didengari orang atasan yang mungkin seterusnya akan melakukan sesuatu untuk menyelesaikan masalah ini.

Eh, kejap. Apa kaitan tajuk entri aku kali ini dengan arnab? Sebab dari tadi aku hanya menulis tentang masalah liputan internet sahaja. Hahaha.

Kisahnya bermula bila aku balik kampung dan sekarang aku masih lagi di kampung. Ada seorang abang aku, dia buat penternakan arnab sebagai projek untuk tahun terakhir pengajian dia di Universiti Malaysia Kelantan. Amboi, orang lain buat thesis bagai, dia siap menternak arnab lagi.

Bila aku tengok sahaja arnab-arnab itu, bermacam kisah sedih dan lucu meluru ke dalam fikiran aku dan sudah tentu ianya berkaitan dengan arnab. Dulu-dulu aku dan abang aku itu ada membela arnab. Kononnya nak menternak dan seterusnya boleh mulakan perniagaan menjual arnab. Wah, bukan main besar lagi angan kami ketika itu.

Abang aku yang merupakan mastermind ini pun membeli sepasang arnab. Kami berikan nama untuk mereka Cici dan Momo. Siap nama mereka kami tulis di dinding besar-besar. Sebab itu aku masih mampu ingat nama mereka walaupun sudah kira-kira 10 tahun kisah ini berlaku. Pada awalnya, kami sangat rajin membela arnab-arnab tersebut. Gilir-gilir memberi mereka minum dan makan serta mencuci najis mereka.

Namun langit tak selamanya cerah, rupanya hujan di petang hari. Lama kelamaan, kami mula bosan melakukan benda yang sama sehinggalah arnab-arnab tersebut terabai. Hmm. Aku mengaku aku memang teruk. Tidak bertanggungjawab. Akhirnya selepas tidak terjaga arnab-arnab itu, ada yang diberikan kepada orang-orang kampung,ada yang disembelih dijadikan santapan dan ada juga yang terlepas hilang di dalam semak samun.

Apa-apa pun, aku berharap projek abang aku kali ini akan berjaya. Bila teringatkan arnab-arnab tersebut,rasa tidak sabar untuk pulang ke kampung halaman aku. Itu sahaja entri aku kali ini, jumpa lagi di lain waktu. Assalamualaikum.



Comments